Anak-anak yang kita sayang

Pantau Aktiviti Anak-anak Semasa Cuti Sekolah

Teks: Ellia Ab Rahim

Cuti sekolah adalah masa yang paling seronok buat kanak-kanak melarikan diri sementara daripada alam persekolahan. Jika anak melalui tempoh itu dengan kegiatan bermanfaat seperti membaca, memperdalamkan ilmu fardu ain, melazimkan diri ke masjid dan surau, mereka berpotensi menjadi generasi cemerlang.

Sebaliknya, jika mereka menghabiskan tempoh itu dengan aktiviti tidak berfaedah seperti menonton program hiburan melampau, menyalahgunakan internet dan membaca majalah hiburan, maka masa depan mereka akan tergugat.

Kita perlu ingat, kanak-kanak lazimnya bersifat kurang matang apabila berdepan cabaran. Mereka mudah terpedaya dengan apa juga cabaran di keliling. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak-anak supaya tidak terpedaya dengan anasir buruk yang akan merosakkan masa depan mereka.

Kanak-kanak sekarang berdepan dengan cabaran dan pengaruh hiburan yang memberi impak yang besar pada kehidupan seharian mereka. Bukalah saluran televisyen manapun, pasti ada program hiburan tersedia. Sesetengah program hiburan itu amat diminati oleh kanak-kanak sehingga membuat mereka leka dan taksub pada program hiburan tersebut.

Ini menyebabkan mereka sanggup menghabiskan masa cuti persekolahan menonton pelbagai program hiburan di televisyen dan internet. Implikasinya, mereka bukan saja lemah pencapaian dalam pelajaran, malah berdepan masalah keruntuhan akhlak yang  berpunca daripada pengaruh hiburan melampau.

Apa yang perlu dilakukan ialah memantau serta membimbing secara serius dan berterusan agar mereka tidak menghabiskan masa menonton program hiburan semata-mata. Ibu bapa perlu kerap bertanya kepada anak-anak mengenai aktiviti yang mereka lakukan setiap hari agar perkara-perkara yang tidak diingini serta aktiviti tidak sihat tidak dilakukan oleh anak-anak kita.


7 Tanda Si Kecil Sayangkan Anda

Anak yang semakin membesar, pastinya menguja ibu bapa. Kasih sayang diberikan sepenuhnya kepada anak kecil ini. Bak kata pepatah, Ibu mana tidak sayang terhadap anaknya. Tetapi bagaimana pula anda mengetahui anak sayang anda. Bersama NORHASLIZA YUSOFF untuk mengetahui tanda-tanda si kecil menyayangi anda.

1. Si Kecil Ceria Melihat Wajah Anda
Sejak bayi dia berusaha untuk mengingati wajah anda. Dia akan merenung wajah anda dalam tempoh yang lama. Memang benar, dia tidak memahami apa-apa tentang dunia sekitarnya. Tetapi dia tahu, anda sangat penting buat dirinya. Apabila usianya meningkat satu tahun dia memberikan senyuman yang paling lebar kepada orang yang disukainya. Dia mula berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali dan wajah yang jarang dilihat. Menjadi lebih gelisah apabila dipisahkan dari ibu bapa.

2. Si Kecil Berfikir Tentang Anda
Walaupun anda tidak berada di sampingnya, dia tetap mengingati anda. Lazimnya antara 12 hingga 24 bulan, dia akan mengerutkan wajahnya dan melihat sekelilingnya apabila ditinggalkan sendirian dalam bilik. Kandang kala, menunjukkan reaksi gelisah apabila anda tidak berada di sampingnya. Tetapi kembali ceria dan tersenyum apabila anda kembali mendapatkannya.

3. Si Kecil Buat Ragam
Jangan salah faham! Jeritan tangisan yang diluahkan bukan tanda dia tidak menyukai anda dan tidak sayang anda. Dia bersikap begitu kerana dia terlalu mempercayai anda sepenuhnya. Dia mahu meluahkan rasa tidak selesa kepada anda tanpa rasa bersalah dengan harapan anda akan menenangkannya.

4. Si Kecil Bertatih Berlari Kepada Anda
Dia berlari ke sana sini tanpa henti, lalu terjatuh dan menangis. Dia berlari mendapatkan anda. Dia amat memerlukan anda apabila menghadapi kesulitan. Walaupun pada awal usia satu tahun, pertuturannya masih belum lancar tetapi tingkah laku ini jelas menunjukkan dia sayang anda. Malah ada sesetengah kanak-kanak kecil masih belum mengetahui pengertian sebenar ‘mama saya kamu’.

5. Si Kecil Membuat “Kejutan” Kepada Anda
Sedang anda minum petang di halaman rumah, anak kecil memberi ciuman di pipi anda. Emosi yang ditunjukkan oleh anak ini menunjukkan perkembangan emosinya yang positif. Dia begitu menghargai anda dengan memberi kejutan buat anda.

6. Si Kecil Minta Persetujuan Anda
Dia akan mulai meminta anda untuk bersetujuan terhadap apa yang ingin dilakukannya. Dia mahu segala perbuatan yang dilakukannya nanti akan dihargai oleh ibu bapanya. Walaupun ia menunjukkan ada unsur si kecil bimbang akan dimarahi oleh anda, tetapi secara tersirat, si kecil sentiasa mengingati kata-kata nasihat anda supaya berkelakuan baik setiap masa. Sikap sebegini menunjukkan tingkah laku si kecil semakin baik.

7. Si Kecil Dengar Arahan Anda
“Adik, tolong mama kemas permainan dan masukkan dalam beg ini.” Si kecil menuruti arahan anda itu walaupun dia sedang seronok menonton rancangan kartun kegemarannya. Walaupun kerja mengemas itu hanya sekejap dilakukannya, tetapi kesanggupannya untuk berhenti membantu anda itu jelas menunjukkan dia menyayangi anda. Pendekatan ini juga mampu melatihnya pada awal usia tentang disiplin diri.


kredit to: majalahpama.com.my

Copyright © 2017 One Stop Nur Iman Enterprise. Template oleh Portal Usahawan . Laman Web Ini Dibina oleh Team Kedai Online
warobbo template